Sunday, May 9, 2010

048 - Oooh! Perancang Bandar......Memahami Isu-Isu REBAKAN BANDAR (URBAN SPRAWL) & SUBURBANIZATION

Di Malaysia, ‘Rebakan Bandar (urban sprawl)’ secara khususnya boleh dikaitkan dengan isu peringkat nasional terutama yang berkaitan dengan keperluan meningkatkan kualiti hidup penduduk tempatan yang tinggal berhampiran bandar-bandar utama. Ini menjadikan kefahaman mengenai hubungan bandar-luar bandar amat penting bukan sahaja dari sudut pembangunan spatialnya tetapi juga dari sudut sosial penduduk yang berpunca daripada konflik dan dikotomi yang memisahkan bandar–luar bandar.



Antara isu-isu penting berkaitan rebakan bandar dan suburbanization secara khusus di Malaysia adalah:

· Berlakunya pembangunan berpoket (pocket development). Kesan daripada pembangunan berpoket ialah lupusnya kampung-kampung tradisi, melenyapkan suasana kejiranan dan kepekaan pada kawasan (sence of place) kepada petempatan asal, dan menjejaskan kualiti dan corak hidup penduduk yang tinggal di pinggir bandar dalam wilayah metropolitan. Banyak kampung-kampung tradisi di pinggir bandar dalam wilayah metropolitan dianggap sebagai monumen atau simbol masyarakat luar bandar. Ianya perlu dipertahankan daripada lenyap begitu sahaja dilanda arus pembangunan yang begitu pesat. Pembangunan fizikal bandaraya telah menghimpit kampung-kampung ini dan banyak petempatan yang telah lenyap. Kampung-kampung yang mengalami tekanan pembangunan daripada ‘rebakan bandar (urban sprawl)’ menghadapi masalah sosioekonomi dan kualiti hidup yang rendah. Ini mencetuskan isu pemilikan rumah dan ketidakseimbangan sosial di kawasan pinggir bandar.

· Ketidakseimbangan penduduk (sama ada dari segi kaum dan status) amat ketara dalam pemilikan rumah terutama di kawasan perumahan baru yang dibina di pinggir metropolitan. Di Lembah Kelang terdapat banyak rumah jenis kondominium dan rumah banglo mewah dibina di kawasan pinggirnya berbanding dengan jenis rumah yang lain. Di Johor Bahru pula mempunyai kadar pemilikan hartanah di pinggir metropolitannya oleh penduduk asing yang tinggi berbanding bandar-bandar lain di Malaysia. Ini memberi kesan kepada struktur masyarakat bandar dan corak integrasi penduduk .

· Masyarakat tempatan yang tinggal di petempatan pinggir bandar secara keseluruhan tidak mempunyai daya saing yang tinggi dalam pelaburan hartanah mahupun dalam ekonomi bandar. Taraf ekonomi mereka amat rendah dan tidak mampan. Penglibatan mereka dalam sektor pertanian semakin menurun. Di Lembah Klang sahaja, terdapat lebih daripada 20,000 penduduk petempatan berbentuk kampung dan petempatan sementara yang hidup dalam keadaan melarat dan menyedihkan, walau pun sudah lebih dua puluh tahun menetap dalam kawasan.

· Terdapat banyak kawasan sensitif alam sekitar di pinggir metropolitan seperti kawasan tadahan air, kawasan bercerun, dan kawasan hutan simpan. Proses pembangunan yang tidak berhati-hati akan mengganggu struktur tanah yang boleh menyebabkan berlakunya tanah mendap, hakisan tanah dan banjir kilat terutamanya pada petempatan tradisi sedia ada. Isu berkaitan dengan pasaran guna tanah yang bersaing menyebabkan nilai tanah naik secara mendadak. Ini memberi kesan ke atas ketidakseimbangan permintaan dan penawaran aktiviti guna tanah bandar. Dasar pengambilan balik tanah untuk tujuan pembangunan yang dilaksanakan ke atas kawasan pinggir bandar memberi tekanan saikologi kepada masyarakat luar bandar di pinggir metropolitan terhadap masa depan kehidupan mereka.

· Selain daripada itu, masyarakat luar bandar di pinggir metropolitan menghadapi masalah pengangkutan kesan daripada kadar penduduk berulang alik (commuters) yang tinggi menggunakan kenderaan. Masalah kesesakan lalu lintas berlaku berpunca daripada tiada jalan alternatif, pembangunan sistem jalan tidak mengikut hirarki, dan wujudnya aktiviti guna tanah yang tidak sesuai di sekitar jalan raya utama.

· Kawasan pinggir metropolitan menerima tekanan pembangunan dari masa ke semasa. Sikap berlumba-lumba ingin mengaut keuntungan dalam memajukan tanah menyebabkan berlakunya ketidakseimbang antara keperluan perumahan dengan pekerjaan dan kemudahan sosial. Di Mukim Ulu Kelang di pinggir bandaraya Kuala Lumpur hampir 30 peratus merupakan kawasan taman perumahan dan hanya 2.7 peratus kawasan menyediakan kemudahan pekerjaan. Kawasan kediamannya adalah berbentuk ruang tempat tinggal (dormitary) dan tidak mampudiri. Terdapat juga masyarakat setinggan yang tinggal di pinggir metropolitan, di mana mendatangkan berbagai masalah terutama meningkatkan pencemaran alam sekitar dan memburukkan imej bandar. Sisa domestik dibuang ke dalam sungai, lereng-lereng bukit seolah-olah diterokai sehingga mengganggu ekosistem kawasan.

· Walaupun sebahagian kawasan yang dijadikan kawasan hijau tetapi perlahan-lahan tidak lagi berfungsi dalam mengawal densiti pembangunan. Kawasan hijau yang luas, pada asalnya berfungsi sebagai kawalan dan pengimbang pembangunan bandar semakin mengecil dan kurang dipertimbangkan dalam pelan pembangunan. Ini memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan sistem ekologi wilayah. Lingkaran hijau (greenbelt) hanya tinggal sebagai polisi yang tidak pernah kekal dilaksanakan.




PUTRAJAYA, Malaysia - A City for the New Millennium : Non-Sprawl City, City in a Garden &
Intelligent City.

7 comments:

  1. Isu-isu berkaitan perancangan bandar amat luas dan sangat menarik untuk dikaji. Ini amat menyumbang-contribute kepada kesejahteraan masyarakat.

    ReplyDelete
  2. Bidang perancangan bandar amat berguna dan penting. Kerjaya macammna?

    ReplyDelete
  3. Terima kasih DR....Banyak isu-isu yang significant boleh dijadikan tajuk PSM. cuma kena fikir lebih sikit........

    ReplyDelete
  4. jagn di tnya mengenai kerjaya...kerna kerja amat meluas..tak semestinya bila kita mempunyai ilmu dalam bidang ini kita akan menjadi pegawai perancang ...banyak lagi yang berkaitan....kerja yang berkaitan peracangan...

    mahasiswa sekarang sepatutnya..lebih minda terbuka dan bersaing dengan dunia luar....

    kalo ada rezeki tak kemana jua....
    insyallah...

    Ada sahaja buku berkaitan perancangan .....kena pandai carilah ....

    ReplyDelete
  5. kita lihat pada hari ini, banyak kawasan tepi pantai yang ditambak untuk dijadikan resort dan kawasan pelancongan..pokok ditebang untuk didirikan chalet dan kemudahan resort yang lainnya..situasi ini seolah-olah berbeza dengan apa yang dipelajari..sustainable development..green development dan sebangainya..hakikatnya..kebanyakan pembangunan bandar yang dilakukan memusnahkan alam sekitar bukan memelihara..dan adakah pembangunan di kawasan persisiran pantai juga merupakan salah satu isu kawasan sensitif alam sekitar???

    ReplyDelete
  6. slm dr.saya student yang buat thesis berkenaan 'urban sprawl ni..jika tidak keberatan, saya ingin mendapatkan bahan dan maklumat lanjut berkaitan tajuk ini..bagi memudahkan perhubungan,saya sertakan di sini, email address saya, leeya_ds88@yahoo.com.
    kerjasama dari pihak dr.amat saya hargai..

    ReplyDelete
  7. Rasanya ilmu2 ini tidak berapa diamalkan dalam sebuah ofis perancang bandar yang tipikal di Malaysia ni. Kebanyakannya ambil pendekatan mudah untuk cepat siap kerja jer. Seorang designer siapkan layout, bagi kat draftman, pas tu bos bawak pergi meeting. Isu2 sosial, alam sekitar dsb jarang diperbincangkan.

    ReplyDelete