Friday, August 6, 2010

078 - REBAKAN BANDAR ‘URBAN SPRAWL’ KE ATAS KAMPUNG-KAMPUNG MELAYU PINGGIRAN BANDAR DI MALAYSIA......Penemuan Kajian untuk penghayatan bersama???



Di negara-negara yang pesat membangun seperti Malaysia, rebakan bandar semakin ketara berlaku dalam wilayah metropolitan dan juga di bandar-bandar utamanya. Ini kerana pembangunan pembandaran telah diberi tumpuan utama secara khusus dalam pembangunan wilayah fizikal negara. Ini merupakan usaha kerajaan bagi memanfaatkan sumber-sumber dan kemudahan bandar, menyediakan kepelbagaian peluang-peluang pekerjaan, memenuhi permintaan tempat tinggal kesan daripada peningkatan jumlah penduduk kawasan bandar dan juga ke arah pembandaran yang lebih global. Petempatan Kampung Melayu yang terletak di pinggiran bandar besar kini kian dihimpit oleh fenomena rebakan bandar. Sebahagiannya mengalami perubahan identiti dan lenyap dalam arus kepesatan pembangunan terancang.
Kajian-kajian di luar negara mengenalpasti impak yang pelbagai dari aspek fizikal dan bukan fizikal akibat dari rebakan bandar tetapi fokus impak yang dikaji adalah lebih secara umum terutama dalam aspek guna tanah atau pembangunan kawasan pinggir bandar secara keseluruhannya. Kajian-kajian dalam aspek rebakan bandar telah dilihat sebagai mendatangkan pelbagai impak negatif seperti isu-isu alam sekitar, konflik guna tanah, ancaman kepada aktiviti pertanian dan spekulasi pasaran tanah. Ciri-ciri rebakan bandar dijelaskan sebagai penyelerakan guna tanah bandar secara bertaburan dan melompat-lompat/‘leapfrog dan scattered’ (Harvey and Clark, 1965); kurang kesinambungan dalam corak pekembangan bandar/‘lack of continuity in urban expansion’ (Mill, 1981); pembangunan tidak tersusun dan merbahaya/‘haphazard growth and patchwork appearence’ (Peiser, 1989), dan perkembangan pembangunan yang berdensiti rendah di sekitar sempadan bandar.
Kajian-kajian terkini seperti Nelson (1999) dan Shou, G. (2000) melihat rebakan bandar sebagai proses pembangunan guna tanah bandar yang tidak bersambung dari segi spatialnya dengan bandar utama disebabkan tiada perancangan, tiada kawalan dan kurang penyelarasan.
Isu terpenting dalam mengkaji rebakan bandar di Malaysia ialah berlakunya tekanan pembangunan ke atas penduduk yang tinggal di petempatan kampung pinggir bandar dalam wilayah metropolitan. Ini kerana terdapat banyak kampung-kampung seperti kampung tradisi dan petempatan sementara yang telah didiami berpuluh-puluh tahun; ada di antaranya telah pupus dan lenyap, mengalami pengurangan penduduk (depopulation), menjadi terasing (isolated) dalam pembangunan, hilang karakter sebagai kawasan tempat tinggal atau menghadapi isu-isu berkaitan alam sekitar. Sebahagiannya pula yang kekal mengalami perubahan corak sosioekonomi dan sosiobudaya yang tidak menentu. Rebakan bandar di bandar-bandar besar Malaysia secara khususnya boleh dikaitkan dengan isu nasional terutama yang berkaitan dengan keperluan meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar. Ini menjadikan kajian rebakan bandar amat penting bukan sahaja dari sudut pembangunan spatialnya tetapi juga dari sudut sosial penduduk yang berpunca daripada konflik dan dikotomi yang memisahkan bandar–luar bandar.

Di Malaysia, kampung-kampung melayu yang terletak di pinggiran bandar merupakan monumen atau simbol masyarakat luar bandar. Ianya perlu dipertahankan daripada lenyap begitu sahaja dilanda arus pembangunan yang begitu pesat. Pembangunan fizikal bandaraya telah menghimpit kampung-kampung ini dan banyak petempatan yang telah lenyap.
Kampung-kampung yang mengalami tekanan pembangunan daripada rebakan bandar menghadapi masalah sosioekonomi dan kualiti hidup yang rendah. Ini mencetuskan isu pemilikan rumah dan ketidakseimbangan sosial di kawasan pinggir bandar. Perkembangan pembandaran perlu dapat membantu matlamat sosial negara dari segi agihan dan keseimbangan kekayaan dan kemudahan. Ketidakseimbangan penduduk (sama ada dari segi kaum dan status) amat ketara dalam pemilikan rumah terutama di kawasan perumahan baru yang dibina di pinggir metropolitan.
Satu kajian impak rebakan bandar ke atas Kampung Melayu pinggiran bandar telah dijalankan menggunakan indeks pengaruh pembandaran bagi menentukan indikator impak yang meliputi aspek fizikal, sosioekonomi dan sosiobudaya Sebanyak enam belas (16) kampung pinggir bandar dikaji dengan melibatkan 367 keluarga menggunakan 84 variabel impak. .
Analisis ranking dan korelasi pengaruh jarak ke atas 84 variabel mengenalpasti 16 indikator impak yang amat signifikan:
1 Eksessibiliti ke kemudahan membelibelah yang lebih baik.
2 Pengurangan jenis kerja yang sesuai dengan kelayakan penduduk.
3 Masalah vandalism dalam kawasan lebih tinggi.
4 Jenis kediaman rumah sebuah kampung berkurangan.
5 Kemudahan asas – bekalan air dan eletrik tidak bermasalah.
6 Jalan masuk semakin mudah ke kawasan kediaman.
7 Status rumah milik sendiri berkurangan.
8 Suasana kejiranan yang semakin menurun.
9 Eksessibiliti ke kemudahan kesihatan lebih baik.
10 Tahap pendidikan ketua keluarga semakin tinggi.
11 Assessibilti penduduk ke luar kawasan lebih tinggi.
12 Pelupusan sampah mudah dilakukan.
13 Keperluan kepada aktiviti keagamaan meningkat.
14 Kadar kecurian dalam kediaman meningkat.
15 Masalah penagihan dadah dalam kawasan lebih tinggi.
16 Lokasi tempat kerja di Bandaraya meningkat.

Ujian chi-square terhadap 16 indikator impak ini pula mendapati 2 indikator iaitu
a) pengurangan bilangan jenis rumah kampung, dan
b) pengurangan pemilikan rumah sendiri,
dihadapi oleh semua zon impak dengan amat ketara.

Penemuan lebih terperinci rebakan bandar mendapati:
i. Impak lebih ketara berlaku kepada aspek bukan fizikal (sosioekonomi dan sosio budaya) daripada aspek fizikal.
ii. Tahap kualiti perumahan dan kemudahan fizikal dalam kawasan kajian adalah rendah.
iii. Kualiti hidup penduduk secara keseluruhannya juga adalah amat rendah.
iv. Faktor jarak petempatan dari sempadan bandar didapati merupakan penentu utama impak.
v. Rebakan bandar memberikan kesan lebih positif kepada aspek fizikal seperti kemudahan sosial yang baik, berbanding lebih negatif kepada aspek sosioekonomi ataupun sosiobudaya.
vi. Rebakan bandar juga memberi impak ke atas peningkatan masalah sosial seperti jenayah, kecurian dan penagihan dadah.

Bagi memastikan petempatan luar bandar berhampiran bandar besar tidak berterusan menerima tekanan pembangunan, dasar perancangan yang lebih komprehensif bagi pembangunan di pinggir bandar adalah amat diperlukan. Empat (4) perkara diberi penekanan iaitu:
(i) Pemikiran semula konsep dan kaedah membangunkan petempatan pinggir bandar dan juga kampung-kampung luar bandar.
(ii) Keperluan merentasi dikotomi bandar/luar bandar yang sedia ada dalam pengubalan dasar-dasar perancangan wilayah dan luar bandar,
(iii) Ke arah pembangunan lebih mampan dan 'integrated' bagi petempatan luar bandar di sekitar pinggir bandar,
(iv) Ke arah pewilayahan petempatan kampung secara polisentrik dan memahami implikasinya ke atas bidang perancangan wilayah dan luar bandar.


Pewilayahan petempatan luar bandar merupakan parameter perancangan ke arah peningkatan kualiti hidup penduduk luar bandar melalui pembentukan pembangunan mampan yang dinamik. Kawalan limpahan pembandaran dapat dibuat melalui pembentukan wilayah baru gabungan ciri-ciri tipologi bandar-luar bandar sebagai kawasan peralehan/‘intermediate areas’. Pembentukan wilayah ini boleh meluaskan potensi pembangunan kawasan pinggir bandar bagi menggantikan sempadan bandar yang rigid. Penemuan menyeluruh penyelidikan ini memperlihatkan kelemahan bidang perancangan bandar di Malaysia dalam mengintegrasikan hubungkait antara aspek fizikal dan bukan fizikal bagi peningkatan kehidupan penduduk yang lebih baik. Fokus perancangan bandar perlu disemak semula ke arah mengubal strategi pembangunan yang lebih menyeluruh berkaitan dengan keperluan meluas perancangan wilayah. Ini boleh memupuk ke arah kaedah merancang yang lebih holistik dalam profession perancangan bandar dan wilayah. Meneroka isu-isu perancangan di pinggir bandar menjadi semakin penting kepada bidang perancangan. Ini kerana pembangunan pesat pembandaran memberi impak yang berbagai bukan sahaja kepada penduduk luar bandar di sekitarnya malah kepada aspek-aspek penting dalam bidang perancangan seperti guna tanah, pengangkutan, alam sekitar, ekonomi dan sosial. Pewilayahan petempatan pinggir bandar boleh memupuk ke arah pengubalan dasar-dasar perancangan wilayah dan luar bandar secara lebih holistik dan berkesan.

27 comments:

  1. Nasib penduduk tempatan juga perlu pembelaan. Perancangan perlu lebih praktikal..

    ReplyDelete
  2. Penduduk tempatan tidak dapat bersaing dari segi ekonomi. Pemilikan hartanah menjadi semakin tidak seimbang..

    ReplyDelete
  3. kesan rebakan bandar harus kita atasi dengan pelbagai kaedah supaya penduduk tempatan dpt mnikmati suasana kualiti hidup yg baik...

    ReplyDelete
  4. Bagus Imrul, anda mahasiswa tahun 2 perancang yang prihatin. Teruskan menulis, melontarkan idea dan memberi komen yang bernas.

    ReplyDelete
  5. pmbngunan yg tiada sempadannya...bina,bina,bina, dan akhirnya tinggallah kawasan pinggir2 bandar yg menunggu masa untuk dimamah arus pmbngunan

    ReplyDelete
  6. salam dr..
    thanx atas notebook tu..
    doakan saya untuk tahun akhir ni ye :)

    ReplyDelete
  7. terima kasih, dr.
    insyallah, sy akan melontar idea2 dan komen trhadap isu2 semasa.

    ReplyDelete
  8. Setelah pembacaan dari blog Dr, sy merasakan pembagunan dan perancangan untuk kawasan pinggir bandar perlulah dibuat secara menyeluruh dan teratur. Hal ini kerana, kebanyakan koridor pembangunan dan kawasan pembangunan lebih mengambil berat tentang cara mengatasi masalah yang berlaku dan bukan lebih kepada mengelak masalah tersebut dari berlaku iaitu penyelesaian dari peringkat awal. Sifat manusia itu sendiri inginkan perubahan dan pembangunan, tapi perubahan dan pembangunan yang diperlukan adalah perubahan yang menepati kehendak penduduk tempatan dan bukannya pembagunan yang berlebihan sehingga menyebabkan penindasan dan tekanan ke atas kawasan pinggir bandar yang terlibat tersebut.

    ReplyDelete
  9. kampung2 melayu pinggir bandar di negara ini hanya menanti pembangunan yang akan datang dan memusnahkan cara hidup mereka yang telah sekian lama didiami..nasib penduduk tempatan seperti berada dihujung tanduk yang mana bila2 masa sahaja akan hilang ditelan arus pembangunan bandar yang merebak secara tidak terkawal..penduduk kampung ini akan berada dalam delima kerana tanah mereka yang diwarisi dari turun temurun diambil oleh para pemaju untuk membuat pembangunan yang memeberi keuntungan kepada mereka berlipat kali ganda tetapi penduduk setempat terpaksa merempat di tanah mereka sendr setelah tanah mereka diambil..penelitian perancangan dan tingkatkan penyelarasan bagi pembangunan bandar dan luar bandar hendalkah dilakukan dengan segera agar pembangunan yang dijalankan seimbang dan memberi keselesaan kepada penduduk tempatan..

    ReplyDelete
  10. Isu pinggir bandar yang sentiasa dimamah oleh arus pembangunan wajar diambil tindakan bagi mengelakkan ia terus berlaku.Daripada pengamatan saya,rebakan bandar ke kawasan-kawasan kampung perlu dicegah di peringkat awal lagi bak kata pepatah "Mencegah lebih Baik dari Mengubati" iaitu di mana kita mengawal terlebih dahulu sesuatu pembinaan yang dijalankan ke atas kampung-kampung melayu dengan tindakan mewartakan kawasan tersebut sebagai kawasan larangan .Dengan ini kerajaan boleh menjadikan kawasan tersebut sebagai kawasan pelancongan dengan wujudnya homestay di pinggir bandar.Wajar ke pendapat saya ini diterima.....

    ReplyDelete
  11. salam,..sy ada sedikit kekeliruan mengenai isu diatas,..tentang aspek yang ke-7 dalam penemuan terperinci rebakkan bandar. Status pemilikan rumah sendiri semakin berkurangan kerana apabila wujud kawasan perumahan baru, maka mereka terpaksa berpindah atau mendapatkan satu kawasan khas untuk kediaman mereka. ini bermakna, mereka terpaksa berhutang dan meminjam status perumahan orang lain sebagai tempat menumpang. Maksudnya di sini,mereka ibarat terbiar..bukan macam tu ke doktor?..

    ReplyDelete
  12. Berdasarkan penulisan Dr,saya dapat mengetahui bahawa pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut. Selain itu,jelaslah disini bahawa terdapat beberapa kesan baik dari segi fizikal dan kesan buruk dari segi sosioekonomi atau sosiobudaya. Saya juga ingin memberi sedikit contoh kesan daripada perebakan bandar di beberapa buah kampung pinggir bandar seperti di Kampung Desa Melayu,Kampung Desa Jaya dan sebagainya. Perkampungan tersebut terpaksa dirobohkan bagi menjayakan projek Lebuhraya Penyuraian Timur Johor Bahru (EDL). Penduduk kampung tersebut telah ditempatkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, Kempas iaitu kira-kira 8km dari kediaman asal mereka sementara menunggu rumah tetap siap dibina di kawasan rumah pangsa,di Kem Majidee. Di sini, dapatlah kita lihat beberapa buah kampung yang telah lenyap ditelan arus pembangunan.Persoalannya adakah kampung-kampung lain akan mengalami nasib yang serupa seperti kampung-kampung itu?

    ReplyDelete
  13. pembangunan adalah perlu bagi setiap kawasan yang sedang mengalami proses pemajuan. tetapi pembangunan yang dijalankan seharusnya seimbang dalam semua aspek dan dapat menimumkan kesan terhadap masyarakat dan alam itu sendiri. pembangunan yang hendak dijalankan seaptutnya mangambil kira kepentingan dan keselesaan semua pihak disamping pemaju yang ingin menjalankan projek-projek pembangunan dimasa akan datang tidak boleh leka dan memandang remeh terhadap impak yang akan berlaku terhadap penduduk yang sekian lama memelihara kampung-kampung mereka sebagai satu monumen penting sebagai masyarakat luar bandar. Disamping itu juga, pengawalan atau perancnagan yang strategik terhadap pembangunan yang akan dijalnkan membolehkan mereka memelihara warisan kampung-kampung dipinggir bandar daripada lenyap ditelan arus pembangunan.

    ReplyDelete
  14. Syabas semua. Kita perlu berfikiran terbuka dan holistic dalam isu ini. Planner perlu melihat secara lebih rasional dan praktikal. Fa-e, dalam kajian saya banyak penduduk berpindah (disebabkan pelbagai alasan)dan banyak rumah disewakan, jadi ramai penyewa dlm kawasan dan mereka bukannya pemilik rumah. Kesannya, semakin ramai pemilik rumah tidak tinggal dalam kawasan.

    ReplyDelete
  15. salam dr.terima kasih atas info yg amat berguna ni.
    btul kate dr, kampung2 melayu yg terletak dipinggir bandar harus dipelihara dan sedikit sebnyak ia perlu dikekalkan agar tidak terus ditelan arus pemodenan dan pmbangunan...
    sy juga bersetuju jika dr mnyatakan rebakan bandar juga mempun yai kesan positif dan negatifnya..bagi pendapat sy, mmg impaknya bnyak dr segi aspek fizikal berbanding aspek sosiobudaya dan aspek sosioekonomi..
    ini kerana impak dari segi fizikal bnyk membantu penduduk sekeliling, cthnya : lebih bnyk kemudahan2 yg akan dirasai mereka seperti sistem infrastruktur bertambah baik, aksesibility juga bertambah tinggi dan pelbagai facilities dan utilities juga bertmbah baik.
    namun dari impak dari segi sosioekonomi dan sosiobudaya ia akanbnyak memberi impak negatif berbanding impak positif. bg sy seperti, peniaga2 di kg2 itu akan merasa tergugat dan berlakulah persaingan yang besar diantara peniaga asal di kg2 itu dengan peniaga2 baru.
    ini sedikit sbnyk akan menggugat ekonomi si peniaga kg..? adskah ini akan berlarutan?? dan apakah nasib2 mereka 5 tahun akan datang @ 20 tahun akan datang?
    selain itu, akan wujud perumahan setinggan..bnyk impak negatif jika rumah2 setinggan ini mewarnai bandar2 besar..sedikit sebnyak akan mencacatkan pmandangan kota itu..gejala sosial dan jenayah juga akan meningkat serta pendatang juga akakn datang untuk bertandang untuk mencari pekrjaan..
    di manakah pembelaan untuk org2 melayu? seolah2 mereka semakin ditinggalkan jauh kebelakang pembangunan...org luar juga yg akan menikmati nikmat di tanah mereka sendiri..
    itu shaja yg dapat sy lontarkan,jika pendapat sy ini silap, harap dr tolong betulkan.wassalam.

    ReplyDelete
  16. Terima kasih kepada Dr. dengan infomasi yang berguna ini untuk dikongsi bersama-sama. bagi saya, di sini saya ingin simpulkan bahawa isu rebakan bandar ini mendatangkan banyak kesan positif dan nagetif.Namun sebagai seorang perancang bandar perlu bertindak untuk mengatasimasalah ini.Sejak akhir- akhir ini kita boleh lihat aktiviti pembangunan semakin rancak membangun seperti"cendawan tumbuh selepas hujan".Aktiviti pembangunan ini sebenarnya perlu untuk menunjukkan kemajuan sesebuah kawasan tersebut.Walau bagaimanapun ,Pembangunan yang dijalankan perlu dikawal dengan sempurna bagi menjamin keseimbangan antara bandar dan kawasan pinggir bandar.Setiap perancangan yang ingin dijalankan perlulah menekankan semua aspek dari segi fizikal,ekonomi,sosial dan alam sekitar.

    ReplyDelete
  17. Well said Shahrina...keep up with good written materials in your blog.

    ReplyDelete
  18. Pendapat saya tentang penemuan rebakan bandar. Jika dilihat ia lebih kearah negatif. Ini menunjukkan mungkin penduduk di pinggir bandar mempunyai masalah mereka yang tersendiri untuk meneruskan hidup dalam keadaan taraf hidup yang tinggi sekarang.

    ReplyDelete
  19. Untuk menjamin tidak berlkunya rebakan ini agar menjadi lebih serius pada masa akan datang,seharusnya dasar-dasar di Malaysia berkaitan perncngan bandar dan wilayah tidak sepatutnya hanya menumpukan pembangunan dalam bandar sahaja.pembangunan yang ingin dibuat mestilah seiring dan seimbang tidak kira di bandar mahupun pinggir bandar.Waaubagaimanapun,pada masa sekarang,bercakap memang senang,tetpi untuk melaksanakannya amatlah susah dan perlu melihat kepada semua aspek..Pembangunan yang tidak seimbang ini rata2 di kwasan kampung terjadi disebabkan kampung2 ini ada antranya telah wujud sebelum merdeka lagi..Jadi,kmpung ini telah mnjdi satu warisan,kebanggaan serta identiti mereka dan sudah tentunya mereka syang untuk melihat kg itu lenyap bgtu shja..apa yang boleh saya katakan,kg2 yang nmpak sgt terpinggir dan berada dalam keadaan yg 'uzur'
    ini boleh dipertingkatkan dengan memberi kemudahan2 yg sewajarnya serta dibuat penyelenggaraan semula agar tidak jauh ditinggal arus pembangunan...

    ReplyDelete
  20. Yes.. you are right. Sebahagian besar mereka menghadapi masalah pekerjaan dan tiada pendapatan, juga masalah sosial dalam kawasan. Ada yang tidak boleh menerima perubahan pembangunan yang agak mendadak. Tekanan hidup juga satu hal.

    ReplyDelete
  21. aktiviti pembangunan adalah perlu bagi meningkatkan taraf hidup sesebuah masyarakat namun apa yang menjadi permasalahannya di sini adalah adakah pembangunan tersebut dikongsi bersama oleh penduduk di pinggir bandar yang terpaksa menrasai proses rebakan bandar sama ada secara rela ataupun tidak. semua pihak haruslah yang berkepentingan haruslah bertanggungjawab untuk mengatasi masalah ini supaya ianya tidak menjadi lebih serius pada masa akan datang dan kemajuan yang dialami dapat dikongsi secara bersama dan menyeluruh tanpa meminggirkan sesiapa.

    ReplyDelete
  22. salam..korang clas elektif,de lg yg lom follow sy..follow la..tq

    ReplyDelete
  23. salam..bagaimana nasib yang menimpa kampung dalam bandar (urban village/village in the city) seperti yang berlaku di bandar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang? adakah fenomena rebakan bandar ini telah mula menumpukan ke kawasan yang nilai harga tanah lebih tinggi yang dibayangi kapitalis dan membelakangkan kebajikan masyarakat? tekanan pembangunan ini sedikit sebanyak telah mengancam profil sosio demografi penduduk terutama orang Melayu.. isu ini seharusnya tidak diabaikan supaya agenda pembangunan lestari di Malaysia berjaya dilaksanakan..

    ReplyDelete
  24. Terima kasih atas komen yang diberikan...... Masyarakat Melayu bandar yang tinggal dalam kampung dalam bandar juga sudah lama ketinggalan dan menghadapi tekanan pembangunan. Satu Pelan tindakan (Action plan) meningkatkan taraf hidup di kawasan konsentrasi masyarakat Melayu di bandar perlu disegerakan. Semuga kita lebih menumpukan isu-isu berkaitan perlaksanaannya daripada membincangkan dasar-dasar perancangan. Ahli politik dan urban planner perlu ambil peranan.

    ReplyDelete
  25. dr.. terima kasih kerana berkongsi maklumat ini bersama. secara tidak langsung ia dapat membantu saya sedikit sebanyak dalam pemahaman terhadap impak rebakan bandar terhadap kg melayu sekarang..
    syabas dr..
    terima kasih !!

    ReplyDelete
  26. terima kasih atas perkongsian ini.

    ReplyDelete
  27. Satu informasi yang sangat berharga daripada dr. Terima kasih dr....dengan perkongsian fakta-fakta yang diselitkan di dalam keterangan yang dr berikan memberikan lebih keyakinan kepada saya bagaimana isu rebakan bandar mempengaruhi kawasan pinggiran bandar. Banyak baik dan tak kurang banyak buruknya juga dr...Namun pendapat saya seharusnya perkara sebegini tidak sewenang-wenangnya berlaku ke atas kawasan pinggir bandar. Ini kerana kawasan pinggir bandar merupakan kawasan yang perlu dihargai dengan keadaannya yang semulajadi. Saya yakin kebanyakkan daripada penduduk kawasan ini adalah daripada golongan berpendidikan dan seharusnya kawasan rumah mereka bukanlah dalam keadaan setinggan lagi. Walhal berdasarkan pengalaman saya melawat 'site' pada semester lepas terdapat beberapa buah rumah 'bungalow' yang sangat indah di kawasan ini. Hal ini jelas menunjukkan bahawa keadaan sedia ada di kawasan ini haruslah dimanfaatkan dan ditingkatkan sebagai satu identiti yang baru yang mampu mempromosikan kehidupan sebenar bangsa Malaysia di mata dunia. Kesimpulannya, satu isu penemuan yang sangat berkualiti yang diketengahkan oleh dr kerana mampu membuka pemikiran saya menjadi lebih terbuka dan holistik dalam menghadapi isu sebegini.

    ReplyDelete