Di negara-negara yang pesat membangun seperti Malaysia, rebakan bandar semakin ketara berlaku dalam wilayah metropolitan dan juga di bandar-bandar utamanya. Ini kerana pembangunan pembandaran telah diberi tumpuan utama secara khusus dalam pembangunan wilayah fizikal negara. Ini merupakan usaha kerajaan bagi memanfaatkan sumber-sumber dan kemudahan bandar, menyediakan kepelbagaian peluang-peluang pekerjaan, memenuhi permintaan tempat tinggal kesan daripada peningkatan jumlah penduduk kawasan bandar dan juga ke arah pembandaran yang lebih global. Petempatan Kampung Melayu yang terletak di pinggiran bandar besar kini kian dihimpit oleh fenomena rebakan bandar. Sebahagiannya mengalami perubahan identiti dan lenyap dalam arus kepesatan pembangunan terancang.
Kajian-kajian di luar negara mengenalpasti impak yang pelbagai dari aspek fizikal dan bukan fizikal akibat dari rebakan bandar tetapi fokus impak yang dikaji adalah lebih secara umum terutama dalam aspek guna tanah atau pembangunan kawasan pinggir bandar secara keseluruhannya. Kajian-kajian dalam aspek rebakan bandar telah dilihat sebagai mendatangkan pelbagai impak negatif seperti isu-isu alam sekitar, konflik guna tanah, ancaman kepada aktiviti pertanian dan spekulasi pasaran tanah. Ciri-ciri rebakan bandar dijelaskan sebagai penyelerakan guna tanah bandar secara bertaburan dan melompat-lompat/‘leapfrog dan scattered’ (Harvey and Clark, 1965); kurang kesinambungan dalam corak pekembangan bandar/‘lack of continuity in urban expansion’ (Mill, 1981); pembangunan tidak tersusun dan merbahaya/‘haphazard growth and patchwork appearence’ (Peiser, 1989), dan perkembangan pembangunan yang berdensiti rendah di sekitar sempadan bandar.
Kajian-kajian terkini seperti Nelson (1999) dan Shou, G. (2000) melihat rebakan bandar sebagai proses pembangunan guna tanah bandar yang tidak bersambung dari segi spatialnya dengan bandar utama disebabkan tiada perancangan, tiada kawalan dan kurang penyelarasan.
Isu terpenting dalam mengkaji rebakan bandar di Malaysia ialah berlakunya tekanan pembangunan ke atas penduduk yang tinggal di petempatan kampung pinggir bandar dalam wilayah metropolitan. Ini kerana terdapat banyak kampung-kampung seperti kampung tradisi dan petempatan sementara yang telah didiami berpuluh-puluh tahun; ada di antaranya telah pupus dan lenyap, mengalami pengurangan penduduk (depopulation), menjadi terasing (isolated) dalam pembangunan, hilang karakter sebagai kawasan tempat tinggal atau menghadapi isu-isu berkaitan alam sekitar. Sebahagiannya pula yang kekal mengalami perubahan corak sosioekonomi dan sosiobudaya yang tidak menentu.
Rebakan bandar di bandar-bandar besar Malaysia secara khususnya boleh dikaitkan dengan isu nasional terutama yang berkaitan dengan keperluan meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar. Ini menjadikan kajian rebakan bandar amat penting bukan sahaja dari sudut pembangunan spatialnya tetapi juga dari sudut sosial penduduk yang berpunca daripada konflik dan dikotomi yang memisahkan bandar–luar bandar.
Di Malaysia, kampung-kampung melayu yang terletak di pinggiran bandar merupakan monumen atau simbol masyarakat luar bandar. Ianya perlu dipertahankan daripada lenyap begitu sahaja dilanda arus pembangunan yang begitu pesat. Pembangunan fizikal bandaraya telah menghimpit kampung-kampung ini dan banyak petempatan yang telah lenyap.
Kampung-kampung yang mengalami tekanan pembangunan daripada rebakan bandar menghadapi masalah sosioekonomi dan kualiti hidup yang rendah. Ini mencetuskan isu pemilikan rumah dan ketidakseimbangan sosial di kawasan pinggir bandar. Perkembangan pembandaran perlu dapat membantu matlamat sosial negara dari segi agihan dan keseimbangan kekayaan dan kemudahan. Ketidakseimbangan penduduk (sama ada dari segi kaum dan status) amat ketara dalam pemilikan rumah terutama di kawasan perumahan baru yang dibina di pinggir metropolitan.
Satu kajian impak rebakan bandar ke atas Kampung Melayu pinggiran bandar telah dijalankan menggunakan indeks pengaruh pembandaran bagi menentukan indikator impak yang meliputi aspek fizikal, sosioekonomi dan sosiobudaya Sebanyak enam belas (16) kampung pinggir bandar dikaji dengan melibatkan 367 keluarga menggunakan 84 variabel impak. .
Analisis ranking dan korelasi pengaruh jarak ke atas 84 variabel mengenalpasti 16 indikator impak yang amat signifikan:
1 Eksessibiliti ke kemudahan membelibelah yang lebih baik.
2 Pengurangan jenis kerja yang sesuai dengan kelayakan penduduk.
3 Masalah vandalism dalam kawasan lebih tinggi.
4 Jenis kediaman rumah sebuah kampung berkurangan.
5 Kemudahan asas – bekalan air dan eletrik tidak bermasalah.
6 Jalan masuk semakin mudah ke kawasan kediaman.
7 Status rumah milik sendiri berkurangan.
8 Suasana kejiranan yang semakin menurun.
9 Eksessibiliti ke kemudahan kesihatan lebih baik.
10 Tahap pendidikan ketua keluarga semakin tinggi.
11 Assessibilti penduduk ke luar kawasan lebih tinggi.
12 Pelupusan sampah mudah dilakukan.
13 Keperluan kepada aktiviti keagamaan meningkat.
14 Kadar kecurian dalam kediaman meningkat.
15 Masalah penagihan dadah dalam kawasan lebih tinggi.
16 Lokasi tempat kerja di Bandaraya meningkat.
Ujian chi-square terhadap 16 indikator impak ini pula mendapati 2 indikator iaitu
a)
pengurangan bilangan jenis rumah kampung, dan
b)
pengurangan pemilikan rumah sendiri,
dihadapi oleh semua zon impak dengan amat ketara.Penemuan lebih terperinci rebakan bandar mendapati:
i. Impak lebih ketara berlaku kepada
aspek bukan fizikal (sosioekonomi dan sosio budaya) daripada aspek fizikal.
ii. Tahap
kualiti perumahan dan kemudahan fizikal dalam kawasan kajian adalah rendah.
iii.
Kualiti hidup penduduk secara keseluruhannya juga adalah amat rendah.
iv.
Faktor jarak petempatan dari sempadan bandar didapati merupakan penentu utama impak.
v. Rebakan bandar memberikan kesan
lebih positif kepada aspek fizikal seperti kemudahan sosial yang baik,
berbanding lebih negatif kepada aspek sosioekonomi ataupun sosiobudaya.
vi. Rebakan bandar juga memberi impak ke atas
peningkatan masalah sosial seperti jenayah, kecurian dan penagihan dadah.
Bagi memastikan petempatan luar bandar berhampiran bandar besar tidak berterusan menerima tekanan pembangunan, dasar perancangan yang lebih komprehensif bagi pembangunan di pinggir bandar adalah amat diperlukan. Empat (4) perkara diberi penekanan iaitu:
(i) Pemikiran semula konsep dan kaedah membangunkan petempatan pinggir bandar dan juga kampung-kampung luar bandar.
(ii) Keperluan merentasi dikotomi bandar/luar bandar yang sedia ada dalam pengubalan dasar-dasar perancangan wilayah dan luar bandar,
(iii) Ke arah pembangunan lebih mampan dan 'integrated' bagi petempatan luar bandar di sekitar pinggir bandar,
(iv) Ke arah pewilayahan petempatan kampung secara polisentrik dan memahami implikasinya ke atas bidang perancangan wilayah dan luar bandar.
Pewilayahan petempatan luar bandar merupakan parameter perancangan ke arah peningkatan kualiti hidup penduduk luar bandar melalui pembentukan pembangunan mampan yang dinamik. Kawalan limpahan pembandaran dapat dibuat melalui pembentukan wilayah baru gabungan ciri-ciri tipologi bandar-luar bandar sebagai kawasan peralehan/‘intermediate areas’. Pembentukan wilayah ini boleh meluaskan potensi pembangunan kawasan pinggir bandar bagi menggantikan sempadan bandar yang rigid. Penemuan menyeluruh penyelidikan ini memperlihatkan kelemahan bidang perancangan bandar di Malaysia dalam mengintegrasikan hubungkait antara aspek fizikal dan bukan fizikal bagi peningkatan kehidupan penduduk yang lebih baik. Fokus perancangan bandar perlu disemak semula ke arah mengubal strategi pembangunan yang lebih menyeluruh berkaitan dengan keperluan meluas perancangan wilayah. Ini boleh memupuk ke arah kaedah merancang yang lebih holistik dalam profession perancangan bandar dan wilayah. Meneroka isu-isu perancangan di pinggir bandar menjadi semakin penting kepada bidang perancangan. Ini kerana pembangunan pesat pembandaran memberi impak yang berbagai bukan sahaja kepada penduduk luar bandar di sekitarnya malah kepada aspek-aspek penting dalam bidang perancangan seperti guna tanah, pengangkutan, alam sekitar, ekonomi dan sosial. Pewilayahan petempatan pinggir bandar boleh memupuk ke arah pengubalan dasar-dasar perancangan wilayah dan luar bandar secara lebih holistik dan berkesan.