Friday, September 14, 2012

138 - Konsep Kawasan SUBURBAN di Malaysia



Kajian berkaitan konsep suburban banyak menjurus kepada melihat bandar sebagai satu pusat (Abdallah Salam, 1981; Chen, Hsin-Ping, 1993). Bagi sebuah wilayah metropolitan, fokus diberikan dengan melihat  fungsi bandaraya utama dalam  proses percantuman bandar-bandar yang berdekatan dalam membentuk satu  koridor  pembangunan bandar. Sejak tahun 1970an banyak istilah dipakai bagi menggambarkan kawasan suburban secara khusus seperti ‘urban finge’, ‘rural-urban fringe’, ‘suburb’, ‘suburbia’, ‘metropolitan village’, ‘outer city’, dan ‘neo-city’. Istilah `urban fringe' dan `rural-urban fringe' menggambarkan kawasan luar bandar yang mempunyai fenomena bandar secara keseluruhannya (Singh, V.R 1967). Manakala istilah `suburban' dan `suburbia' menggambarkan sebahagian kawasan pinggir metropolitan yang lebih dipengaruhi oleh pengaruh bandar (Winssink, 1962). Istilah-istilah lain adalah lebih khusus untuk satu-satu kawasan yang bersifat pusat pertumbuhan di sekitar pinggir bandar menghala ke luar bandar. 


  Kawasan suburban menerima pengaruh bandar dari segi pembangunan fizikal guna tanah, aktiviti ekonomi penduduk, dan mencorak kehidupan masyarakat nya (Sinha, 1979). Sebahagian besar kajian yang pernah dilakukan mengatakan kawasan suburban sebagai  zon peralehan guna tanah, sosial dan demografi (Pryor, 1973). Dari segi fizikalnya ianya merupakan penyambungan kepada kawasan tepubina bandar. Sebahagiannya berkembang sebagai pusat pertumbuhan baru, ‘dicerobohi’ oleh pembangunan industri atau guna tanah dan aktiviti dalaman bandar (Cheng, 1985). Dari segi guna tanah, ada diantaranya merupakan guna tanah yang ‘tidak diterima’ oleh bandar atau luar bandar saperti kawasan pembuangan sampah dan sisa pepejal dan tanah perkuburan. Dari segi jarak kawasan ini boleh berada sehingga 20 kilometer dari sempadan pentadbiran bandar (Anuar Amir, 1990). Di negara membangun, sebahagian besar kawasan suburban adalah kawasan semulajadi  yang belum sesuai dibangunkan kerana ketiadaan prasarana bandar.
 Dalam konteks perancangan, ianya adalah kawasan kabur (gray area) untuk pembangunan kerana belum pasti bentuk pembangunan yang bakal dijalankan. Bagi pertumbuhan sebuah wilayah metropolitan, kawasan ini adalah masa depan koridor-koridor pembandaran. Dari segi ciri-ciri spatialnya pula, kawasan ini sering menerima tekanan kepada pembangunan terancang.

Kajian-kajian awal ke atas kawasan suburban dibuat mengarah kepada pemahaman mengenai konsep perkembangan bandar di samping  memperlihatkan hubungkait kawasan dengan bentuk dan ciri-ciri bandar utamanya. Singh (1967)  menyatakan kawasan suburban membangun disebabkan oleh corak perkembangan bandar di mana melibatkan unjuran keperluan gunatanah bandar berkembang ke kawasan peralehan ini. Garniar dan Chabot (1967)  menyatakan kawasan suburban adalah proses penyambungan kawasan tepubina bandar. Ini menunjukkan pergantungan kawasan suburban dengan kawasan bandar. Dickinson (1967) menjelaskan kawasan ini sebagai kawasan luar bandar yang  `dicerobohi' oleh pembangunan  industri dan lain-lain aktiviti dalaman bandar termasuk perkembangan sistem pengangkutan dari bandar ke luar bandar. Pryor (1973) dalam menjelaskan konsep suburban-luar bandar (rural-urban fringe) menyatakan ianya sebagai satu zon peralehan gunatanah, sosial dan demografi  yang terletak di antara kawasan penyambungan tepubina bandar dan kawasan luarbandar yang mempunyai ciri-ciri yang hampir serupa dengan kawasan bandar. Davidson (1972)   mengganggap kawasan suburban adalah sebagai tanah kawasan luar bandar iaitu berjarak kira-kira tiga atau empat batu dari kawasan tepubina bandar.

 Kajian-kajian terkini pula lebih melihat kawasan  suburban sebagai satu unit spatial yang tersendiri (Herington, 1984). Banyak kajian ditumpukan kepada menganalisis ciri-ciri, isu-isu pembangunan dan pengaruh bandar ke atas satu-satu aspek seperti nilai tanah, aktiviti pertanian, alam sekitar dan sebagainya (Sanders, 1995).

 Sebagai rumusan istilah ‘kawasan suburban’ membawa pengertian sebagai kawasan yang berada di antara kawasan bandar utama dan beberapa bandar di sekitarnya, dengan kawasan luar bandar yang berhampiran bandar. Pengaruh jarak amat penting dalam mengkaji pengaruh bandar. Dari segi jarak ia boleh berada sehingga 20 km. daripada kawasan bandar sempadan utama. Dari segi aktiviti gunatanah,  sebahagiannya belum dibangunkan atau kurang diselaraskan pembangunannya. Ciri-ciri umum kawasan berbentuk campuran ciri bandar dan ciri-ciri luar bandar. Gunatanah utama yang berkembang pesat ialah perumahan, industri, pekedaian, dan sebahagian kawasan merupakan gunatanah yang tidak dapat `diterima' sebagai guna tanah bandar atau guna tanah luar bandar. Dari segi kemudahan asas dan infrastruktur dalam kawasan adalah kurang dan pembangunannya dipengaruhi oleh corak perkembangan kawasan dalaman bandar. Kawasan ini semakin menurun ciri-cirinya sebagai kawasan luar bandar dan semakin beralih kepada ciri-ciri kawasan bandar. Bentuk lingkungan kawasan ini adalah berbeza-beza dari bandar ke bandar disebabkan faktor fizikal, dasar pembangunan, dan corak ekonomi bandar tersebut. Perubahan yang selalu dialami adalah berdasarkan perkembangan sistem pengangkutan, pertambahan penduduk dan juga pembangunan fizikal. Satu kaedah yang boleh dipakai untuk melihat impak limpahan pembandaran yang berlaku ke atas suburban ialah melalui kajian skala ciri-ciri pembandaran (scale of urbanity) ke atas kawasan berdasarkan pengaruh bandar utama.

3 comments:

  1. Suburban perlu dirancang seperti idea2 smart growth..konsep bandar suburban perlu diwujudkan di malaysia...seperti suburban village...bandar baru..bandar metro..Bandar TOD.. petempatan tradisi...dll.
    Di peringkat perlaksanaan para perancang perlu ada peranan. Idea2 kena diketengahkan...tulis buku..artikal...dalam blog..untuk dikongsi bersama.Tq dr.Mudah2an hasrat tercapai.

    ReplyDelete
  2. Perancangan kawasan pinggir bandar perlu dilakukan dengan teliti bagi mengelakkan nilai-nilai estetik kawasan tersebut tidak ditelan zaman. Kawasan pinggir bandar di Malaysia kebanyakkannya masih mempunyai nilai-nilai kawasan kampung dan cara hidup yang bersederhana dalam penggunaan teknologi, infrastruktur dan perancangan pembangunan yang agak lembap. Usaha berterusan dalam membangunkan kawasan pinggir bandar perlu diberi penekanan supaya tidak mengalami ketinggalan arus pemodenan.

    ReplyDelete
  3. kini??kita lihat pembangunan di malaysia semakin pantas hari demi hari..kalu kita melapangkan dada memikirkan dengan pemodenan pembangunan yang semakin pesat mengejar matlamat saranan kerajaan dalam masa sama sesuatu pembangunan yang dijalankan terlepas pandang akan kesan di sebalik pembangunan itu..hari-hari dunia semakin mencari kemajuan sambil berganding bahu meletakkan nama negara ke mercu dunia..kalau kita lihat,negara kita pada zaman kini arus kemajuan semakin pesat???dan bagaimana pada 20 tahun akan datang??oleh itu,sebelum merancang sesuatu pembangunan seharuslah bijak memikirkan jangka masa akan datang..

    ReplyDelete