Tuesday, February 28, 2012

133 - FENOMENA REBAKAN BANDAR DI MALAYSIA?


Satu fenomena yang berlaku kesan daripada kepesatan pembangunan perbandaran di Malaysia ialah berlakunya rebakan bandar atau ‘urban sprawl’ ke kawasan petempatan kampung-kampung di pinggir bandar. Rebakan bandar yang berlaku adalah dalam bentuk pembangunan pesat pembandaran ke luar melebihi sempadan bandar yang ditentukan. Ini mengakibatkan sebahagian besar kawasan pinggir bandar yang dianggap sebagai zon peralehan (transition zone) telah bertukar kepada ciri-ciri sosio-bandar terutama dalam aspek fizikal kediaman, sosioekonomi dan sosiobudaya penduduk (Anuar Amir, 1990). Pembangunan pembandaran sekian lama diberi tumpuan khusus dalam pembangunan fizikal negara. Ini merupakan usaha kerajaan bagi memanfaatkan sumber-sumber dan kemudahan bandar, menyediakan kepelbagaian peluang-peluang pekerjaan, dan memenuhi permintaan tempat tinggal kesan daripada peningkatan jumlah penduduk kawasan bandar. Pembangunan pembandaran ini diberi tumpuan melalui pembentukan strategi dan pelan-pelan perancangan di peringkat makro dan mikro seperti dalam Rancangan Fizikal Negara (RFN), Rancangan Struktur Negeri (RSN), Rancangan Tempatan Daerah (RTD). Ini selaras dengan matlamat pembangunan negara untuk mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan spatial antara wilayah sejak dari Rancangan Malaysia ke 4, 1981-85. Kampung-kampung yang terletak di pinggir bandar dianggap sebagai medan pertembungan kepada perubahan fizikal dan bukan fizikal, kesan dari rebakan bandar yang berlaku. Kepesatan pembangunan terancang menyebabkan kampung pinggir bandar kian terhimpit dalam arus perkembangan pembandaran. Sebahagiannya mengalami perubahan ciri-ciri dan identiti kawasan, manakala pendudukmya terpaksa menghadapi pengaruh pembandaran yang semakin meningkat terutama dalam aspek suasana kediaman, ekonomi dan pekerjaan, serta corak hidup. Fokus kajian dalam bidang perancangan telah sekian lama tertumpu kepada masalah dalaman kawasan bandar khususnya kepada fungsi, dominasi pusat bandar (CBD) dan dasar-dasar perkembangan bandar. Banyak penekanan dibuat dengan melihat kajian pengaruh dan kepentingan bandar sebagai satu pusat (Chen, 1993). Kajian-kajian di barat juga banyak menumpukan kajian perkembangan pembandaran sebagai satu proses yang perlu dihadkan seperti keperluan menentukan sempadan pembangunan bandar/ ‘urban growth boundary’ (Best dan Coppock, 1962). Kajian-kajian dalam aspek rebakan bandar telah dilihat sebagai mendatangkan pelbagai impak negatif seperti isu-isu alam sekitar, konflik guna tanah, ancaman kepada aktiviti pertanian dan spekulasi pasaran tanah. Ciri-ciri rebakan bandar dijelaskan sebagai penyelerakan guna tanah bandar secara bertaburan dan melompat-lompat/‘leapfrog dan scattered’ (Harvey and Clark, 1965); kurang kesinambungan dalam corak pekembangan bandar/‘lack of continuity in urban expansion’ (Mill, 1981); pembangunan tidak tersusun dan merbahaya/‘haphazard growth and patchwork appearence’ (Peiser, 1989), dan perkembangan pembangunan yang berdensiti rendah di pinggir bandar. Kajian-kajian terkini seperti Nelson (1999) dan Shou, G. (2000) melihat rebakan bandar sebagai proses pembangunan guna tanah bandar yang tidak bersambung dari segi spatialnya dengan bandar utama disebabkan tiada perancangan, tiada kawalan dan kurang penyelarasan. Isu terpenting dalam mengkaji rebakan bandar di Malaysia ialah berlakunya tekanan pembangunan ke atas penduduk yang tinggal di kampung pinggir bandar. Ini kerana terdapat banyak kampung-kampung seperti kampung tradisi dan petempatan sementara yang telah didiami berpuluh-puluh tahun; ada di antaranya telah pupus dan lenyap, mengalami pengurangan penduduk (depopulation), menjadi terasing (isolated) dalam pembangunan, atau hilang identiti sebagai kawasan tempat tinggal. Sebahagian kampung yang kekal mengalami perubahan corak sosioekonomi dan sosiobudaya pengaruh daripada perkembangan bandar. Masalah ini bertambah serius apabila tumpuan kepada pembangunan kampung-kampung pinggir bandar dalam pelan-pelan pembangunan adalah tidak diberi penekanan dan terpisah dari dasar perancangan fizikal bandar.

1 comment:

  1. rebakan bandar diUSA tak sama apa yang berlaku disini ?

    ReplyDelete