Monday, December 19, 2011

124 - PENGALAMAN HAJI 1432hijrah/2011masihi....Mabit di Muzdalifah.

Mabit atau singgah sebentar bermalam di Muzdalifah adalah salah satu wajib haji. Selepas wukuf di Arafah, selepas waktu maghrib adalah masa untuk bertolak ke Muzdalifah. Masa yang diambil adalah 40 minit dengan jarak perjalanan lebih kurang 8 km. Ia juga masa & tempat sewajarnya bermuhasabah diri. Dengan ratusan ribuan manusia berkumpul; iman dan... kesabaran diuji. Belajarlah menunggu, dan banyakkan bersabar dan bertolak ansur ketika menaiki bas, perlu mengikut arahan dan usah mementingkan diri sendiri. Belajar memikirkan orang lain ; golongan tua yang kurang berupaya dan mereka yang lemah. Bersyukurlah jika tenaga kita kuat dan muda. Di Muzdalifah juga tempat mengutip batu2 kecil untuk melontar di jamrah. Tujuh biji + (7 + 7 + 7)x3 bagi menyempurnakan lontaran ke tiga2 jumrah. Di kaki bukit inilah jemaah haji berbaring, rehat atau tidur, semasa tengah malam hingga ke awal pagi, sebelum menaiki bas ke khemah di Mina. Berlantaikan tikar, berbantalkan lengan atau beg kecil yang dibawa, dan berbumbungkan langit yang terbuka, luas dan lapang. Berzikir dan berdoalah apa saja. Bersandarlah pada pasangan masing2 jika mengantuk. Suasana amat dingin mencengkam tubuh badan. Dengan berpakaian ihram, jagalah kebersihan dan berusahalah supaya tidak batal wuduk. Tandas juga agak terhad, barisan menunggu mungkin panjang. Menunggu bas yang berulang-alik mengambil masa yang agak lama. Suasana putih, bersih, berdebu dan dalam samar-samar cahaya lampu malam memberi ruang kita berfikir tentang manusia sejagat. Kami menunggu ketibaan bas hingga sempat bersolat subuh di Muzdalifah. Alhamdulillah...Satu suasana ketenangan & keinsafan yang sukar digambarkan.

No comments:

Post a Comment