Monday, December 19, 2011

119 - PENGALAMAN HAJI 1432hijrah/2011masihi....SAAT PERTAMA KALI MENYEMPURNAKAN TAWAF

Pengalaman mengerjakan tawaf adalah bahagian masing-masing dan peribadi. Mulanya terdetik di hati bagai imbasan sedikit-sebanyak suasana di Padang Masyar. Terutama tatkala dalam berpakaian ihram. Bahang kepanasan dan bauan badan manusia segenap pelusuk dunia tidak dapat dielakkan. Pilihan kita samada mahu sehampir mungkin dengan Baitullah di dataran yang senantiasa padat dengan manusia, tawaf di tingkat satu atau dua yang pastinya pusingan yang lebih jauh. Selalunya ketara gelagat manusia ketika bertawaf di dataran seolah mereka tidak perasan untuk memperdulikan hal orang lain. Berebut-rebut dalam suasana pantas dan mahu segera. Aktiviti tawaf tidak berhenti kecuali tiba masanya mendirikan solat fardhu. Usah sangat berharap suasana dan bilangan jemaah berkurangan dengan mendadak sepanjang waktu musim Haji. Setiap waktu manusia berpusu-pusu mengerjakan tawaf – samada tawaf qudum, tawaf umrah, tawaf haji, tawaf sunat, tawaf nazar dan mungkin juga tawaf wada’. Pelbagai gelagat jemaah dapat diperhatikan ketika tawaf. Jemaah datang dari pelbagai negara, berlatarbelakangkan budaya dan sikap masing2 – perbezaan ini amat ketara. Di dataran kaabah, sentiasa bersesak-sesak dengan manusia, tolak menolak berlaku, bersentuhan lelaki perempuan perkara biasa, memegang bahu orang di hadapan, dan berasak-asak kiri kanan, depan belakang. Hakikatnya ramai jemaah berniat baik – sedia bertolak ansur, mahu bantu membantu tatkala bertawaf; namun kerana terlalu ramainya manusia - faktor umur, ilmu, jantina, bangsa menjadi penyebab kepada manusia yang tidak menyedari mereka bersikap mementingkan diri, ingin cepat, tidak memahami keadaan hingga tidak menyedari orang disekelilingnya, saudara seislam juga atas niat yang sama – ingin berzikir dan berdoa memohon keampunan. Kadangkala berlaku singgung-menyinggung, terpijak kaki, malah siku menyiku yang membawa kepada pergaduhan kecil tetapi sekejab. Ramai yang beristifar semula. Kesabaran amat penting dan tumpuan setiap detik perlu kepada mengingati kebesaran Allah. Menjadi kebiasaan bagi kebanyakan jemaah melakukan tawaf bersama pasangan masing2. Cari masa yang sesuai untuk memulakan tawaf. Seringkali kaum wanita terperangkap dalam suasana pabila tibanya solat fardhu. Selalunya Pegawai Arab Saudi menyuruh jemaah wanita ke belakang. Di dataran Kaabah dan kawasan dalam masjidil haram perkara ini juga sering berlaku. Masih ramai jemaah tidak memahami hakikatnya pengasingan lelaki perempuan adalah perlu sewaktu solat berjemaah. Masing2 ada alasan tersendiri terutama pasangan jemaah tua, dari negara tertentu yang memangnya mudah diagak- solat sebelah menyebelah dan bercampur lelaki perempuan. Jemaah yang datang secara kumpulan besar juga sering ditemui, mereka berpeluk pinggang membentuk barisan yang panjang, bergerak seperti peluru dan seolah merempuh. Ada pula kumpulan jemaah lelaki mengawal kumpulah jemaah wanitanya menyelinap masuk dalam pusuan orangramai. Kumpulan ini tidak berpecah dan seolah hendak melanggar apa yang menghadang laluan mereka. Mengerjakan tawaf di dataran kaabah memerlukan kekuatan mental, rohani dan fizikal, juga kesabaran dan keberanian. Namun sekiranya kita senantiasa beralah dan beristifar; jangan bimbang, ruang untuk kita bergerak selesa pasti ada. Kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Menyempurnakan tujuh pusingan seringkali mengambil masa kurang lebih satu jam dalam tahap kesesakan musim haji. Melakukan tawaf di aras satu atau dua adalah lebih selesa tetapi mengambil masa yang lebih lama. Jarak satu pusingan di tingkat satu dan dua mungkin mendekati 500 meter. Kesesakan lebih ketara berlaku di kawasan menghampiri penjuru terletaknya lampu hijau bertentangan Hajar Aswad iaitu kawasan bagi memulakan tawaf. Apa yang diharapkan adalah semua manusia dapat bergerak secara teratur walaupun perlahan, banyak bersabar, sedia bertolak-ansur dan perihatin dengan orang lain, walaupun dalam keadaan manusia terlalu padat. Manusia sememangnya adalah makluk yang sempurna kejadiannya, hanya ketaqwaan kepada Allah yang membezakan tindaktanduk masing2….

No comments:

Post a Comment